Groupon dan Milkadeal

Groupon dan Milkadeal adalah antara laman yang kami selalu kunjungi. Kakak saya ada bertanya, "Boleh percaya ke website ni?". Kawan-kawan kami pun ada juga yang bertanya. Jawapan kami, "Boleh tetapi...".
Ada banyak tetapinya. Hehe... Bagi kami ianya terpulang kepada pengetahuan kita. Jadi di sini kami ingin kongsi sedikit tentang dua laman web ini. Pengetahuan ini juga digunakan untuk kedai online lain. Tujuan kami bukanlah untuk memberi gambaran negatif terhadap industri atas talian ini tetapi sekadar berkongsi pendapat kami. Banyak juga produk dan perkhidmatan yang kami beli dari Groupon dan Milkadeal ini. Setakat ini kami berpuas hati dengan perkhidmatan mereka tetapi masih ada yang boleh diperbaiki.

1. Baca dan lihat dengan teliti

Apabila melihat barangan yang benar-benar kami mahu di laman web tersebut, pertama sekali yang kami buat adalah baca semua penerangan yang ada. Termasuklah yang tulisan bersaiz kecil (jika ada). Kadang-kadang cara penerangan mereka boleh buat kita keliru. Kami tidak setuju dengan cara meletakkan gambar produk dan teks "pictures are for reference only" yang diselit di tengah-tengah himpunan ayat yang meleret.  Maksudnya produk sebenar sedikit berbeza dari gambar? Sepatutnya mereka letakkan gambar sebenar produk tersebut. Kadang kala terdapat video dari YouTube yang kononnya mendemostrasikan cara penggunaan produk mereka. Padahal produk dalam video tersebut tidak sepenuhnya sama dengan produk yang ditawarkan. For reference only juga? Kami lebih suka jika video itu dibuat dengan menggunakan produk sebenar. Video tidak cantik pun tidak apalah. Asalkan ia menunjukkan cara penggunaan yang betul.

2. Hubungi mereka

Jika terdapat kekeliruan, hubungi pihak laman web tersebut atau terus ke pihak penjual. Pernah sekali kami hubungi mereka berkenaan bayaran tambahan untuk penginapan sebuah hotel 3 hari 2 malam semasa cuti umum. Mengikut laman mereka, bayaran tambahan yang dikenakan ialah RM100 per room. Jadi kami ingat RM100 saja yang dikenakan untuk sebuah bilik tanpa mengira bilangan hari. Namanya pun "Deal". Mungkin pemahaman kami benar. Tapi bila ditanya dengan pihak hotel sendiri, mereka kata RM100 per room per night pula. Sudah jadi RM200. Nasib baik kami tanya.

3. Selidik dahulu

Kebiasaan peniaga untuk membesar-besarkan tawaran yang diberikan. Mereka akan kata produk mereka murah dari harga pasaran, lebih berkualiti dan sebagainya. Jadilah pengguna yang bijak dengan buat sedikit carian mengenai produk tersebut. Selalunya kami akan bandingkan harga mereka dengan harga pasaran. Betulkah lebih rendah? Jika mereka kata barangan tersebut original, bandingkan dengan pembekal rasmi barangan tersebut. Lama jugalah masa yang diambil sebelum kami buat keputusan untuk membeli.

4. Cara dan tarikh penghantaran

Kami akan pastikan cara penghantaran yang digunakan adalah selamat dan tarikh penghantaran adalah boleh diterima. Ini adalah kerana kebanyakkan produk dihantar secara pukal. Mereka akan mengumpul dahulu maklumat pembelian sehingga tarikh tutup, memproses pembelian, membungkus dan seturusnya menghantar secara pukal. Lazimnya secara pos. Jadi kebanyakkan produk sebegini akan mengambil masa lebih kurang sebulan untuk sampai ke tangan kami. Untuk produk yang diperlukan segera, agak tidak sesuai untuk dibeli dari mereka.

Kami suka online shopping. Kami berharap Groupon dan Milkadeal dapat mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka supaya boleh menyampaikan maklumat yang jelas kepada pengguna. Untuk mengetahui hak-hak kita sebagai pengguna, boleh rujuk di Portal Rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Previous
Next Post »
0 Komentar

Comments